Petikan Berita Harian 15.06.2009
KUANTAN: Perkhidmatan radio amatur kini menjadi perkhidmatan telekomunikasi alternatif bagi menghubungkan masyarakat dengan maklumat terkini jika berlaku kejadian kecemasan seperti banjir dan kemalangan.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian dan Warisan, Pembangunan Keluarga dan Hal Ehwal negeri, Datuk Shafik Fauzan Shariff, berkata walaupun ada talian selular, namun liputannya yang tidak menyeluruh terutama di kawasan terpencil kadang kala menyukarkan pihak penyelamat menyalurkan bantuan.
Beliau berkata, permohonan mendapatkan lesen radio amatur yang meningkat menunjukkan masyarakat mulai sedar kepentingan radio itu dalam kehidupan seharian.
"Ketika tsunami pada 2005, pengendali stesen radio amatur memberikan bantuan dengan menyediakan jaringan komunikasi radio kerana sistem komunikasi yang biasa digunakan terputus.
"Justeru, kita dapat melihat kepentingan perkhidmatan ini sebagai talian komunikasi alternatif bagi menghadapi sebarang kemungkinan ketika bencana di sesuatu kawasan.
"Namun, pada masa sama semua pihak termasuk mereka yang memiliki lesen ini diingatkan tidak menyalahgunakan perkhidmatan berkenaan," katanya pada perasmian penutupan Seminar Radio Amatur Peringkat Negeri Pahang yang dianjurkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) wilayah Timur, di sini.
Seminar adalah salah satu usaha SKMM memberi pendedahan kepada orang ramai mengenai penggunaan radio amatur secara sah dan pemilik lesen radio amatur diminta mematuhi peraturan dan etika perundangan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Persatuan Radio Amatur Pahang (Peramah) turut mengambil inisiatif membangunkan pancar ulang di lokasi tertentu seperti Bukit Pelindung, di sini dan Bukit Ibam, di Muadzam Shah bagi menggalakkan aktiviti komunikasi melalui radio amatur.