a

Monday, August 13, 2007

GELOMBANG BERLESEN

Kumpulan radio amatur Malaysia bantu pihak berkuasa hadapi saat kecemasan, bencana alam


SEBAIK memasuki sebuah bilik di rumah seorang pengarah urusan sebuah syarikat, seolah-olah berada di bilik kawalan lapangan terbang.

Kamsol Warjan seorang radio amatur yang berhabis hingga RM80,000 untuk melengkapkan sebuah bilik khas di rumahnya dengan pelbagai peralatan canggih kerana minat itu. Di bilik itu, Kamsol, berhubung dengan teman radio amatur seluruh dunia.


Apakah radio amatur? Istilah ini sebenarnya merujuk kepada sekumpulan manusia di seluruh dunia yang berkomunikasi melalui pelbagai frekuensi radio dengan menggunakan pelbagai jenis peralatan pemancar tanpa wayar. Seperti konsep walkie talkie, komunikasi radio amatur terhad kepada hubungan dua hala.

Bagi Kamsol minat terhadap radio amatur bercambah menerusi hobinya, menyertai ekspedisi kenderaan pacuan empat roda (4WD) yang menyebabkan dia sering masuk ke dalam hutan pada pertengahan tahun 1990-an.

“Telefon bimbit memang tidak berguna dalam hutan kerana tiada liputan. Walkie talkie pula hanya boleh digunakan pada jarak tertentu.

"Ramai kawan yang menyertai ekspedisi 4WD menggunakan radio amatur yang terbukti berkesan di tempat terpencil seperti hutan,” katanya.

Didorong minat dan galakan rakan, Kamsol menduduki ujian yang diwajibkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan mendapat lesen radio amatur kelas B pada 2001, diikuti kelas A empat tahun berikut.

Minat Kamsol terhadap radio amatur cukup mendalam menyebabkannya membeli pelbagai peralatan komunikasi canggih.

“Sebenarnya jika hendak berkomunikasi, peralatan biasa sudah memadai. Bagaimanapun, peralatan lebih canggih diperlukan untuk menghubungi teman radio amatur luar negara, terutama yang jauh seperti Amerika Syarikat,” katanya.

Antara pengalaman menariknya ialah ketika menyertai Ekspedisi Petronas Siberia 2002.

“Di sempadan China dan Mongolia, saya berhubung dengan rakan di tanah air. Itulah tempat paling jauh saya menggunakan peralatan radio amatur. Kalau telefon bimbit, mustahil untuk buat begitu,” katanya.

Selain itu, katanya menerusi radio amatur, katanya mudah mendapat rakan di luar negara dan ini berguna apabila hendak pergi ke luar negara.

“Saya pernah pergi ke Filipina. Seminggu sebelum ke sana, saya berkomunikasi dengan ahli radio amatur di sana untuk mendapat maklumat seperti hotel yang sesuai. Mereka bukan saja memberi maklumat itu, malah sanggup menunggu di lapangan terbang,” katanya.

Selain berkomunikasi dan mendapat teman baru, Kamsol yang juga Naib Presiden Persatuan Perkhidmatan Kecemasan Radio Amatur Malaysia (Mares) berkata, penggunaan radio amatur sebenarnya sangat luas.

Presiden Mares, Abdul Aziz Mohd Noor, berkata antara sumbangan ahli radio amatur ialah apabila bencana alam berlaku.

Katanya, Mares yang ditubuhkan untuk menggembleng kepakaran ahli membantu pihak berkuasa kerana ketika bencana alam seperti banjir besar, komunikasi menggunakan talian tetap dan telefon bimbit terhenti.

Bagaimanapun, katanya radio amatur dengan kelebihan frekuensi radio tanpa had dengan peralatan canggih membolehkan komunikasi terus berfungsi, sekali gus membantu gerakan mencari dan menyelamat.

Katanya, ahli radio amatur aktif menyertai gerakan menyelamat seperti tragedi Highland Towers pada 1993 dengan menyediakan kemudahan komunikasi menghubungkan tempat kejadian dan Hospital Kuala Lumpur.

Selepas itu, katanya beberapa kejadian seperti kilang bunga api meletup di Rawang, tanah runtuh di Pos Dipang, Kampar dan ribut Greg di Keningau.

“Ini menyebabkan sekumpulan radio amatur memutuskan untuk menubuhkan Mares pada Jun 2002,” katanya.

Sejak itu, Mares memberikan bantuan dalam beberapa tragedi seperti kapal terbang terhempas di Genting Bidai dekat Bentong, Pahang pada 2004, malah ke Meulaboh, Acheh dan Medan, Indonesia, selepas bencana tsunami.

Kali terakhir ialah akhir tahun lalu dan awal tahun ini untuk membantu pihak berkuasa dan pertubuhan bukan kerajaan ketika banjir besar di Johor.

Sementara itu Presiden Malaysian Amateur Radio Transmitters Society (Marts), Syed Shehan Syed Sultan, berkata ada pelbagai aktiviti ahli radio amatur seperti bercakap dan mendengar perbualan ahli lain.

Bagaimana, katanya mendengar dan bercakap adalah kegiatan sampingan dengan matlamat utama menggalakkan ahli melakukan uji kaji atau reka cipta.

“Ada ahli yang boleh memasang peralatan radio amatur seperti radio dan antena hingga boleh digunakan untuk berkomunikasi.

“Mereka dipandang tinggi dan dihormati apabila ahli radio amatur lain mendapat tahu bahawa peralatan yang digunakan adalah `homebrew’ atau dipasang sendiri,” katanya.

Beliau berkata, radio amatur bukan hobi untuk golongan mewah seperti sangkaan sesetengah pihak, tetapi disertai semua peringkat masyarakat.

“Saya mengenali Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat terkemuka menjadi radio amatur. Pada masa sama, ada peniaga kecil seperti penjual ikan meminati hobi yang sama kerana harga peralatan asas tidak terlalu mahal (antara 400 hingga RM500),” katanya.

Katanya, memiliki lesen kelas A juga diwajibkan terhadap setiap angkasawan, termasuk dua calon angkasawan negara.

Malah, katanya ahli radio amatur di bumi boleh berkomunikasi dengan angkasawan negara di Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS), Oktober ini.

FAKTA: Radio amateur

  • Radio amatur juga dikenali sebagai ham radio.
  • Radio amatur ialah hobi membina, menguji dan berkomunikasi melalui radio. Kebanyakan radio amatur melalui percubaan demi percubaan boleh memasang peralatan elektronik.
  • Antara kelebihan radio amatur ialah boleh berkomunikasi dari mana-mana tempat dan setiap masa. Ini amat berguna ketika bencana dan terbukti di seluruh dunia, radio amatur memberi banyak bantuan kepada pihak berkuasa.
  • Keunikan radio amatur membolehkan perhubungan antara manusia di bumi dengan angkasawan atau membalikkan isyarat dari bulan. Kelebihan lain radio amatur termasuk membolehkan fail atau gambar dihantar secara digital. Banyak peralatan elektronik sekarang seperti mesin faks adalah berasaskan radio amatur.
  • Sejarah radio amatur seusia dengan kewujudan radio.
  • Kongres Amerika Syarikat meluluskan undang-undang untuk mengawal selia pemancaran radio pada 1912.
  • Pengguna radio amatur Amerika Syarikat berkomunikasi di seluruh negara dan mewujudkan sistem penghantaran mesej pada 1914.
  • Radio amatur diperkenalkan di Malaysia oleh orang British pada 1920.
    Persatuan Radio Amatur Selangor dan Perak ditubuhkan pada 1947, manakala Malayan Amateur Radio Transmitters Society pada 1952.
  • Pada peringkat awal di Malaysia, bilangan radio amatur tidak ramai. Hanya ada kira-kira 300 radio amatur pada 1997.
  • Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) pada 1997, memperkenalkan lesen Kelas B yang hanya memerlukan lulus ujian teori. Lulus ujian kod Morse pula diperlukan untuk mendapat lesen kelas A.
  • Pemegang kelas B hanya boleh menggunakan frekuensi antara 28-29.7 Megahertz (MHz), 50-54 MHz, 144-148 MHz dan 430-440 MHz. Kelas A pula boleh menggunakan lebih banyak frekuensi dan berkomunikasi ke seluruh dunia.

Petikan Dari: Berita Harian 12.08.2007

Oleh Ziauddin Sharuddin (zia@nstp.com.my)

Related Posts with Thumbnails