a

Tuesday, November 14, 2006

Kelemahan komunikasi pengurusan bencana


Oleh ABDUL AZIZ MOHD. NOR

Sejak kebelakangan ini, kejadian nahas bencana banyak berlaku termasuk gempa bumi, tsunami, banjir besar, runtuhan bangunan, nahas kapal terbang serta helikopter.Anggota-anggota penyelamat yang ditugaskan untuk kerja-kerja mencari dan menyelamat kita memang terlatih dalam mengendalikan tugas berat itu namun disebabkan tidak ada koordinasi antara anggota-anggota penyelamat, ia sedikit sebanyak menghalang mereka melakukan tugas yang terbaik.Persatuan Perkhidmatan Kecemasan Radio Amatur Malaysia (MARES) yang kerap kali terlibat dengan kerja-kerja mencari dan menyelamat bersama-sama polis, pasukan Bomba dan Penyelamat, JPA3 dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) sering mendengar keluhan di antara pasukan penyelamat itu.Kita mempunyai Unit Pengurusan Krisis dan Bencana, Bahagian Keselamatan Negara selain Jawatankuasa Pengurusan dan Bantuan Bencana di peringkat daerah, negeri dan pusat, namun bilakah mereka yang diamanahkan ini akan duduk berbincang?Adakah mereka hanya perlu duduk bersama setahun sekali atau hanya berjumpa apabila berlaku bencana?Apakah fungsi jawatankuasa ini? Adakah ia sekadar memenuhi garis panduan Jabatan Perdana Menteri (JPM) sahaja dan hanya inginkan pegawai yang mewakili agensi tertentu bercakap di meja rundingan termasuk menyediakan kertas kerja namun tidak ada pelaksanaan kerana tiada peruntukan kewangan?Di sini penulis ingin sertakan satu senario menarik untuk tatapan kita bersama. Persoalannya ialah sejak 15 tahun penulis menetap di sebuah bandar yang mempunyai beberapa pangsapuri, tidak pernah pun melihat atau mendengar Pelan Tindakan Kecemasan (ERP) atau Pelan Pemindahan (Evacuation Plan) di penempatan berkenaan.Bayangkan jika berlaku kebakaran atau gempa bumi, apakah yang akan dilakukan oleh penghuninya? Yang lebih memburukkan keadaan, sehingga kini tiada sistem pencegah kebakaran di kawasan penempatan berkenaan dan ini menimbulkan satu pertanyaan bagaimana pangsapuri itu mendapat sijil layak menduduki (CF).Apa yang kita lakukan sekarang lebih bersifat ad hoc dan bencana demi bencana berlaku namun kehangatannya hanya seketika sahaja.Kejadian Helikopter Hornbill Skyways - Bell 206 yang terhempas di kaki Gunung Murud, Ba'kelalan, Sarawak pada 12 Julai 2004 memakan masa 16 hari untuk dicari dan ini tidak dapat diterima oleh ahli keluarga mangsa serta masyarakat umum.Pada hari kejadian sehingga helikopter berkenaan dijumpai setiap hari media tempatan menyiarkan berita mengenainya termasuk siaran pendapat daripada beberapa individu mahir dan pakar mengenai perkara itu.Namun apabila ia sudah berakhir, tidak ada mana-mana pihak tampil ke hadapan melakukan langkah-langkah tertentu untuk memperbaiki cara dan tindakan menyelamat bagi membendung perkara berkenaan daripada berulang.Apa yang dikesali ialah kawasan tersebut merupakan kawasan sering terjadi nahas namun tidak ada sebarang `tindakan pembetulan' dibuat.Mesyuarat post-mortem nahas pesawat Piper 28 di Genting Bidai, Pahang tahun lepas turut menimbulkan persoalan masalah koordinasi antara pasukan penyelamat termasuklah masalah integrasi sistem komunikasi yang tidak sepatutnya berlaku pada zaman sekarang.Kita sering memberikan keutamaan kepada pasukan Bomba dan Penyelamat, JPA3, polis, Unit Udara PDRM, Unit Udara Bomba dan TUDM sebagai anggota agensi penyelamat.Akan tetapi kita sebenarnya tidak harus melupakan dan mendapatkan perkhidmatan daripada orang yang lebih arif mengenai kawasan berkenaan.Ini termasuk juruukur bahagian pemetaan, kumpulan pendaki gunung, pemburu, Orang Asli dan badan-badan NGO yang lain termasuklah ahli kelab pacuan empat roda (4x4) dan kelab radio amatur.Sebagai contoh, jika ada pesawat terhempas di kawasan hutan, khidmat kumpulan ini diperlukan kerana ada di antara mereka lebih arif kawasan tersebut dan tahu mengenai selok-belok kawasan tersebut.BantuanNegara maju contohnya Amerika Syarikat, Perancis dan United Kingdom sering menggunakan khidmat kumpulan ini, manakala agensi kerajaan dan swasta pula menyediakan bantuan kewangan kepada NGO.Namun amat malang ia tidak berlaku di negara kita.Jawatankuasa di peringkat nasional harus mengemas kini garis panduan pengurusan bencana contohnya Arahan Majlis Keselamatan Negara No. 20 (MKN 20) yang dikeluarkan oleh Jabatan Perdana Menteri (JPM) yang diwujudkan selepas tragedi Highland Tower pada 11 Disember 1993.Semenjak dari tahun 60-an sehinggalah sekarang, tidak ada perubahan dan apa yang kita nampak hanyalah kenderaan dan perkakasan mencari dan menyelamat, bot-bot, pam-pam air, ambulans yang baru.Apa yang dikesalkan sistem komunikasi sesetengah agensi penyelamat amat menyedihkan dan tidak mencapai tahap kemodenan yang ada sekarang.Turut dikenal pasti permohonan menaik taraf peralatan seperti pengesan kehidupan (life detector) dan alat komunikasi terkini amat sukar dan sering diklasifikasikan sebagai tidak penting.Malah ada satu agensi penyelamat negara, lengkap dengan segala peralatan baru termasuk kenderaan 4x4, komputer pejabat, ambulans, bas untuk anggota termasuklah sebuah kenderaan Proton Perdana V6 baru.Namun apabila memasuki bilik gerakan, hanya terdapat empat buah gagang telefon yang biasa digunakan untuk menerima panggilan kecemasan, sebuah alat perhubungan frekuensi sangat tinggi (VHF) dan sebuah buku catatan penerimaan panggilan kecemasan.Cuba bayangkan, jika berlaku sesuatu bencana yang besar sudah pasti bilik gerakan ini dihujani pelbagai panggilan yang tidak henti-henti daripada orang ramai.Jika mereka masih meneruskan dengan peralatan asas ini termasuk operator yang kurang berpengalaman, pastinya proses menerima aduan, memberi arahan dan melaksanakan arahan menjadi kurang efisien. Seterusnya, ia pasti akan melambatkan proses menyelamat.Semua ini berlaku di ibu negara dan ini membayangkan apa yang ada di lain-lain negeri. Dalam gerakan mencari dan menyelamat, salah satu alat yang paling penting ialah peralatan komunikasi.Namun perkara yang penting itu jarang diambil tahu dengan terperinci oleh pihak tertentu.-
ABDUL AZIZ MOHD. NOR ialah Presiden Persatuan Perkhidmatan Kecemasan Radio Amatur Malaysia (MARES).

Related Posts with Thumbnails